Pastikan kelancaran majlis perhimpunan, perarakan Maulud Nabi





Berita dan Foto : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 1 September. - Bagi memastikan kelancaran perjalanan majlis Perhimpunan dan Perarakan bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah, satu perjumpaan bersama wakil ketua-ketua pasukan diadakan pagi tadi di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).


Perhimpunan dan perarakan berkenaan yang diadakan serentak di keempat-empat daerah tersebut akan diadakan pada hari Sabtu, 13 Rabiulawal 1447 Hijrah bersamaan 6 September 2025 Masihi bermula pukul 7.00 pagi dengan tumpuan utama di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.


Perjumpaan berkenaan dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah.


Perjumpaan berkenaan diadakan bertujuan untuk menerangkan mengenai format perhimpunan dan perarakan kepada ketua-ketua pasukan yang akan mengambil bahagian dalam acara tersebut.


Beberapa agensi kerajaan turut menyampaikan taklimat termasuk Jabatan Adat Istiadat Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Kesihatan, Pengerusi Bersama Kenderaan dan Pengangkutan serta agensi-agensi berkaitan yang lain.


Pada tahun ini, perhimpunan, perarakan dan perbarisan dibahagikan kepada lima kategori iaitu; Pasukan Tidak Bernombor, Kementerian-Kementerian, Institusi Pengajian Tinggi / Maktab / Sekolah Menengah / Sekolah Arab / Sekolah Menengah Swasta, Kampung dan Masjid serta Persatuan dan Sektor Swasta.


Dengan adanya taklimat ini, diharapkan semua ketua pasukan akan memperoleh kefahaman yang jelas mengenai perkara-perkara berkaitan, seterusnya menyalurkan maklumat tersebut kepada ahli pasukan masing-masing bagi memastikan kelancaran dan kesempurnaan perjalanan perhimpunan dan perarakan pada tahun ini.


Close